Guru Besar
Salam 1 Malaysia
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Saya amat bersyukur kerana masih bersama-sama warga SKDABB.
Abad ke 21 ini telah menjanjikan pelbagai kemungkinan kepada kita. Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melahirkan fenomena globalisasi, “Dunia Tanpa Sempadan”. Untuk menikmati kejayaan berterusan dalam persekitaran globalisasi yang mencabar ini, kita perlu menyedia dan melengkapkan diri para pelajar dengan pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi yang inovatif, memiliki jati diri dan beretika secara berterusan dalam usaha untuk mempertingkatkan keupayaan generasi muda untuk menangani perubahan dan cabaran dengan cekap dan berkesan.
Memperkasakan pelbagai ilmu pengetahuan, kebolehan berkomunikasi terutamanya dalam Bahasa Inggeris dan penerapan pelbagai kemahiran dalam kalangan pelajar-pelajar menjadi agenda utama bagi sesebuah sekolah. Walau bagaimanapun, penguasaan ilmu dan berketrampilan sahaja tidak mencukupi seandainya faktor nilai-nilai murni tidak dijadikan pedoman. Nilai-nilai agama dan moral inilah yang akan memberi petunjuk dan pedoman kerana ia terkandung nilai yang baik untuk generasi muda menempuh kehidupan yang penuh cabaran.
Pembangunan modal insan ini perlu dirancang teliti dengan mengambil kaedah menyeluruh dan bersepadu. Segala bakat dan potensi para pelajar dapat dibangunkan dengan efektif. Dengan ini, SK Dato' Abu Bakar Baginda, Sepang akan dapat melahirkan generasi pewaris kepemimpinan negara yang memiliki idea, mencakupi pelbagai rutin kehidupan, berketrampilan dalam pelbagai bidang, kritis dan kreatif sekaligus kontruktif.
Kita tidak mahu melahirkan ulat buku yang hanya cemerlang dari segi akademik semata-mata, sebaliknya generasi yang seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual, mempunyai disiplin diri yang tinggi, berketrampilan, patriotik dan tidak bersikap individualistik malah mampu memainkan peranan dalam masyarakat. Usaha ini selaras dengan dua daripada enam teras strategik PIPP iaitu, Membina Negara Bangsa dan Membangunkan Modal Insan. PIPP merupakan wadah terbaik sebagai anjakan paradigma sistem pendidikan negara ke tahap yang lebih cemerlang pada peringkat tempatan dan global, sekaligus sebagai pemangkin kepada wawasan kerajaan untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.
Dengan adanya gandingan mantap antara pihak sekolah dengan pihak ibu bapa akan menjadikan SK Dato' Abu Bakar Baginda lebih beraspirasi untuk meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum pelajar agar terus cemerlang serta dapat meningkatkan penglibatan dan rasa kepunyaan ibu bapa serta komuniti terhadap sekolah ini. Hubungan rapat dan mesra ini akan meningkatkan iklim pembelajaran yang kondusif yang faedahnya akan dinikmati oleh para pelajar.
Wassalam
Sekian terima kasih.
Puan Hajah Rabitah binti Haji Jalaludin
(Guru Besar)
PERUTUSAN GB
Langgan:
Catatan (Atom)